Rabu, 16 April 2008

Jalan Hitam (17)

Malam ini kian sampai ke penghujungnya. Gua masih termanggu sendiri, merenung jauh ke luar hingga menembusi peredaran masa. Gua lihat satu demi satu catatan yang tertulis di sepanjang perjalanan lalu cuba mengamati setiap perkataannya, cuba membaca kembali apa yang pernah terpahat di sana.

Penglihatan gua rasa cukup jelas tapi entah kenapa, pandangan yang gua nampak semuanya kabur dan berkabut. Bukan gua tak mampu nak menghayati segala bayangan yang ada dalam ingatan gua, cuma, semua tu menjelma dalam bentuk yang samar-samar. Gambaran yang terang tapi kelabu. Gua nampak satu demi satu, terpahat begitu kukuh dalam fikiran gua tapi semuanya macam takde kepastian.

Gua terus paku pandangan gua sedalam-dalamnya merentas waktu tapi detik demi detik pandangan gua bertambah kelabu. Akhirnya gua kelipkan juga mata dan air yang bergenang mengaburi mata gua sejak tadi tumpah juga ke bumi. Dan gua tunduk perlahan-lahan, tunduk bungkam seolah-olah gua dah tak mahu lagi angkat balik muka gua untuk selama-lamanya. Lalu gua terus saja tunduk dan tertunduk.

Kalau gua angkat balik muka gua ni, arah mana yang patut gua pandang? Ah! Semua perkara nampak nyata tapi semuanya tak nyata. Gua cuma akan terus keliru dan keliru. Gua cuma akan bingung sendiri. Segala bayangan dan ingatan itu membunuh jiwa gua setiap saat tapi ia terus juga akan berlegar di situ. Jadi untuk apa lagi gua angkat muka gua melihat kembali segala-galanya dan terus saja menghukum diri gua sendiri? Gua tak nak tengok lagi, tak nak pandang dan tak nak lihat semua tu! Walaupun gua nampak tapi pandangan gua kabur. Pandangan gua kelam dan berbalam-balam.

Lantas, gua pejamkan saja mata gua rapat-rapat cuba lenyapkan terus semua bayangan yang memenuhi pandangan gua. Gua pejam sekejapnya tak mahu melihat imej-imej itu lagi tapi semuanya kembali memburu gua dan datang pula suara-suara yang bergema menusuk pendengaran gua. Gua tutup telinga gua rapat-rapat namun suara itu masih ada. Gua tunduk, peluk tubuh gua, pejam mata gua dan tutup telinga gua sekuat-kuat hati tapi tak dapat juga nak hentikan segala-galanya.

Gua betul-betul rasa lemas dan terhimpit. Gua tak mampu dan tak berdaya lagi nak bendung perasaan gua ni. Tubuh gua bergetar, menggigil-gigil! Gua cengkam kepala gua lalu menekannya sekuat-kuat tenaga. Kenapa semua tu tak hilang? Kenapa semua tu masih berlegar-legar memenuhi segenap ruang tubuh gua? Kenapa semuanya terus sebati dan berulang-ulang terlihat sedangkan gua tak dapat lagi nak laluinya dan gua tak mungkin mampu untuk pandang semua tu dengan nyata?! Kenapa terus juga berputar-putar membayangi gua dan gua tetap tak berdaya nak hentikannya?

Gua rasa begitu sakit dan terseksa ketika ini. Gua terus cengkam kepala gua dan tangisan gua meledak. Dada gua jadi sempit, sakit. Sakit yang teramat sangat! Gua tak mampu buat apa-apa melainkan menangis dan menangis. Terasa seolah-olah seluruh jasad gua sedang ditikam-tikam dan ditusuk kekecewaan. Gua tersedu. Takde udara lagi untuk gua sedut dan terus bernafas. Gua separuh nyawa menanggung perasaan yang begitu hampa ini.

Memang gua terlalu hampa dan tak berdaya ketika ini! Kerana gua tahu gua memang takkan mampu nak buat apa-apa. Semua bayangan dan suara-suara itu masih ada di sana. Segala-galanya akan terus kekal di sana tapi gua tak mampu nak buat apa-apa dengannya. Gua terus melihat dan merasa tapi gua takkan dapat apa-apa. Kerana gua tak mampu nak sentuh, tak mampu nak genggam dan tak mampu nak kembalikan semua tu.

Airmata yang tumpah tanpa henti ni, apa maknanya? Tangisan gua yang meletus ni, untuk apa? Gua rasa segala-galanya seolah-olah semuanya baru saja berlaku tapi pada realitinya, semua tu dah jauh teramat-sangat. Ia kejap terpaku dalam fikiran gua hingga gua mampu untuk mengulanginya satu demi satu namun semuanya tak mungkin mampu hadir dan tak mungkin sekali-kali akan jadi pasti. Gua diburu rindu, dihantui bayang-bayang. Tapi gua tak dapat nak buat apa-apa dengan rindu gua yang menyala-nyala itu.

Gua hanya terperangkap sendirian dalam perasaan gua. Tak dapat nak buat apa-apa dengan apa yang gua rasa. Kerana gua tak dapat nak hidupkan apa yang pernah terpahat dan tak dapat juga nak melupakan segala-galanya. Semuanya hanya meninggalkan gua dalam belenggu yang takde kesudahan. Ia sekadar membuat gua rasa tak berdaya, rasa tak berupaya langsung. Hingga gua jadi begitu terdesak, jadi takde punca dan buntu.

Apa yang mampu gua lakukan? Tangisan gua meledak berpanjangan. Tangisan kecewa, tangisan hampa! Tangisan kerana gua tak mampu nak melakukan apa-apa sedangkan hati gua meronta-ronta, memberontak di dalam. Hati gua berteriak, membentak. Hati gua menempelak dan melawan dalam diam. Tapi gua tak boleh nak buat apa-apa dengannya!

Argh! Gua cengkam kepala gua sekuat-kuatnya. Gua ingin tenggelam ke dasar bumi saja. Lalu bayang-bayang dan cerita seribu tahun lalu itupun datang lagi. Berputar lagi. Berlegar-legar lagi. Gua mahu terbenam saja jauh-jauh. Mahu bunuh dan kebumikan saja hati gua yang begitu. Mahu lari dan pergi sejauh-jauhnya. Tapi gua masih saja terpaku di sini. Dan malam terus juga berlalu menghampiri penghujungnya.

Perlahan-lahan gua angkat kembali muka gua. Merenung malam, merenung kejauhan lalu merentasi lagi masa silam. Airmata gua mengalir lesu. Mengalir dan mengalir tanpa henti. Mengalir tanpa ada tujuan. Gua kelipkan mata gua dan airmata gua jatuh lagi. Entah untuk apa! Antara sedar dan tidak tangan gua terkulai lalu gua rebah ke sisi, terlantar lemah di lantai. Gua terkujur tak bergerak, terbaring lesu. Gua sudah tak punya udara dan nafas lagi. Tapi mata gua terus terbuka, dan terbuka. Terus merenung malam yang kian berakhir dan terus dikelabui airmata. Terus terdampar kaku ditemani saki-baki dari hari semalam yang kelam dan musnah. Saki-baki yang kehancuran!

bersambung....

Tiada ulasan: