Dia tak ingat berapa lama dia hidup macam tu. Dia rasa seperti binatang. Dia hampir-hampir terlupa bahawa dirinya masih lagi manusia dan bila dirinya dipungut ke rumah kebajikan buat pertama kali, dia bagaikan dah lupa bagaimana untuk jadi seorang manusia dan bagaimana untuk hidup seperti seorang manusia!
Fariz menyorot pandangan tajam pada lantai bisu. Dia kesat kesan darah yang belum kering di bibir. Dia genggam penumbuk. Hatinya menyala-nyala dengan api amarah dan dia rasa begitu sakit dan terbakar!
“Aku rasa memang tak ada orang lain dah yang curi barang aku. Mesti budak tu punya kerja! Sebelum ni mana pernah berlaku benda-benda macam ni. Sejak dia ada baru menjadi-jadi. Kita bukannya tahu dia tu asal dari mana. Entah keturunan apa. Kena ambilpun kat tepi jalan. Tak hairan kalau perangaipun macam tu.”
“Memang! Aku dah agak dia tu semacam saja. Aku nak rapatpun rasa tak selesa. Patutlah! Baru duduk kejap dah macam-macam benda buruk berlaku. Tak padan dengan kecik.”
“
Fariz menangis di sebalik pintu. Dia benar-benar rasa terguris. Kenapa sampai hati cakap dia macam tu? Salah apa yang dah dia lakukan? Dia tak pernah buat apa-apapun. Dia tak pernah buat jahat kat sesiapa. Sampai hati mereka!
Fariz peluk erat beg di tangan. Dia terhenjut-henjut menahan esakan. Sampai hati semua orang hina dan tuduh dia macam-macam sedangkan dia langsung tak pernah buat apa-apa pada sesiapa. Dia rasa sakit. Dia tak nak dengar lagi semua tu. Fariz lari dan terus lari. Dia terus lari tanpa arah tujuan.
Lari tanpa kembali lagi.
Kenapa mesti semuanya macam tu?
“Budak sial tu tak boleh ikut! Kau ingat aku ni tauke bank ke apa nak tambahkan beban tanggung anak orang lain! Aku dah cukup susah ni! Jangan nak tambahkan susah lagi. Anak sendiri yang dua ekor tu pun tak terjaga. Nak tambah pulak dengan anak orang yang takde kena-mengena dengan kita. Dari awal lagi aku dah cakap jangan dikutip budak tu. Kau tu yang bodoh nak jadi baik nak tolong pelihara anak entah sape-sape! Kita ni jiran, bukan sedare diaorang!”
“Tapi bang, budak tu nak pergi mana? Dia kecik lagi. Dah la dia takde sape-sape. Takde keluarga. Takkan kita nak biar macam tu aje?” “Kau ni memang bodoh! Tolol! Yang dok sibuk fikir pasal orang lain tu apasal?! Kita kena cabut kalau tak, mampus, kau faham tak?! Nyawa sendiripun belum tentu selamat, sibuk nak fikir pasal orang! Kalau kau rasa mulia sangat, kau duduk je sini jaga dia, takyah ikut. Biar aku lari sorang-sorang. Dok sini bela budak tu!”
“Yalah, yalah. Saya ikut rancangan abang tu. Nantilah saya fikirkan cara macammana nak buat dengan dia.” Fariz menyorok di belakang pintu, memejam mata menadah doa. Ya Allah, janganlah aku kena tinggal. Janganlah aku kena tinggal! “Hoi! Kau buat apa tu?! Curi dengar orang tua-tua bercakap?!” Fariz geleng. Fariz tak dengar apa-apa. Ya Allah mintaklah aku tak ditinggal. Mintaklah diaorang bawak aku sama! Mulut kecil itu terus terkumat-kamit berdoa.
Ah! Manusia kadang-kadang cuma tahu memikirkan apa yang baik untuk diri mereka sendiri saja! Memikir apa yang perlu mereka lakukan tanpa fikir tentang kesannya pada orang lain.
‘Bersiap? Kita nak pergi mana? Nak pergi jalan-jalan ke?’ Senyuman terukir. Kepala mengangguk. ‘Ya. Kita nak pergi jalan-jalan. Kita nak pindah rumah baru. Pergilah bersiap. Pakai lawa-lawa.’ Senyum lagi. ‘Nak pindah? Kita tak kemas baju-baju lagi.’ ‘Tak apa. Kau pergi mandi dulu. Nanti kami kemas barang-barang kau.’
‘Cantiknya beg ni.’ ‘Kau suka? Kalau kau suka baguslah. Beg tu memang untuk kau.’ ‘Ya ke? Betul ni? Terima kasih!’
‘Kita nak pindah mana? Rumah baru kat mana?’ ‘Nanti kau tengoklah sendiri.’ ‘Kenapa berhenti kat sini? Kita nak buat apa ni?’
‘Kita rehat kejap. Kau main-main dulu kat sini ya? Kami nak pergi selesaikan dua-tiga benda lagi. Nak pindah ni bukannya senang. Kau berseronoklah dulu ya? Tunggu kat sini. Nanti kami datang balik ambik kau. Kami pergi kejap saja.’
Sampah! Kenapa mesti janjikan apa-apa kalau memang tak pernah berniat nak kotakan?! Fariz meludah liur ke tanah. Dia tendang dinding sekuat hati. Jiwanya panas terbakar.
Dia menyumpah sendiri dalam hati. Dia ketap bibir. Hari demi hari berganti. Bulan demi bulan bertukar. Tahun demi tahun berlalu. Fariz nyalakan api lalu membakar beg buruk yang selama ini dikelek bersama ke sana ke mari. Ia sebenarnya tak pernah bermakna apa-apa! Ia tak pernah ada nilai, tak pernah langsung punya sebarang harga! Dia merenung kosong melihat api menjilat dan memamah beg itu. Jiwanya bengkak!
“Fariz, Fariz tak apa-apa ke?” Fariz tersentak. Dia berpaling memandang Nurul. Nurul tersenyum dengan penuh kelembutan lalu melabuh duduk di sebelahnya. Fariz tundukkan wajah. Perlahan dia menggelengkan kepalanya.
“Betul ke Fariz tak apa-apa ni?” Nurul mengintai wajahnya yang membungkam dari sisi. Dia ukirkan senyuman yang manja dan manis. Dengan sendirinya Fariz tertawa kecil. Dia angkat muka lalu memandang ke arah Nurul.
Senyuman tulus yang membayangi mata Fariz itu bagaikan penawar yang menyejukkan segala kemarahan dan kebencian. Nurul terus tersenyum. Tanpa bertanya apa, dia sentuh birai mata Fariz dengan manja.
“Mata Fariz sedih. Fariz sedih, erk?” Fariz menggeleng. “Jangan sedih-sedih. Nurul ada. Kita kawan, ya? Kalau Fariz sedih, Nurulpun rasa sedih. Nurul tak pergi mana-mana. Sampai mati Nurul dengan Fariz.”
Di sebalik wajah yang dingin, hati kecil Fariz benar-benar tersentuh. Senyuman Nurul yang ikhlas tersemat di hati dan sampai bila-bilapun dia tak akan lupa pada senyuman yang mampu memulihkan segala kekusutan yang ada dalam dunia itu.
Kehadiran Nurul telah melenyapkan suara riang kanak-kanak yang sedang bergembira dengan bertemankan keluarga di hadapannya. Fariz tatap raut wajah gadis comel itu. Itulah kesempurnaan yang paling tak ternilai pernah datang dalam hidupnya. Kerana ketulusan dan kesucian hati gadis itu, Fariz relakan segala kepahitan yang pernah datang. Dia rela maafkan semua kekurangan lepas semata-mata kerana kelembutan gadis itu, ketulusannya dan keletah keanak-anakannya yang begitu telus dan manis.
Fariz akan jaga Nurul sampai Fariz mati, Nurul. Dia senyum lembut sambil memandang wajah Nurul yang damai.
bersambung....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan