Rabu, 16 April 2008

Jalan Hitam (2)

Kesengsaraan dan penderitaan. Siapa di dalam dunia ini yang betul-betul mampu simpulkan makna kesengsaraan dan penderitaan yang tepat bagi setiap orang. Apa itu kesengsaraan? Apa itu penderitaan? Apa nisbah dan ukuran yang boleh menyukat tahap kesengsaraan dan penderitaan seseorang? Mampukah wujud satu nisbah dan ukuran tertentu macam tu untuk membolehkan kita menilai seseorang dengan hukum lalu dapat memutuskan samaada mereka itu bahagia ataupun sengsara?Termasuklah diri gua sendiri, tak mungkin mampu nak letak satu kenyataan yang boleh menggambarkan makna sengsara dan derita bagi semua orang dan sesungguhnya gua cuma lebih tahu tentang apa yang gua rasa dan apa yang terpendam dalam jiwa gua kerana semua tu gua yang lalui dan alaminya sendiri.

Mungkin tafsiran gua ni tak sama macam tafsiran orang lain tapi sesungguhnya, gua tahu ianya memang sangat menyakitkan bila bersendirian menghadapi luka sedangkan segala-galanya jadi ranap dan hancur tanpa diberi sebarang pilihan. Gua mengerti rasa itu. Kepahitan dalam menerima kenyataan yang sangat kejam. Kenyataan yang sangat kejam tentang kebenaran diri, ketentuan diri yang tak pernah diminta.

Gua bukan pentafsir yang cuba nak menghalusi perasaan sesiapa. Apa yang gua faham adalah apa yang sebenar-benarnya wujud dalam diri gua dan gua lalui dalam kehidupan gua. Hakikatnya, apapun yang dapat gua ungkap, gua hurai, ia tetap takkan sama macam apa yang pernah berlaku sebenar-benarnya. Kesakitan yang meranapkan jiwa-raga tak mungkin dapat digambarkan pada orang lain dan ia akan kekal melekat dalam ingatan gua sampai bila-bila dan kesannya takkan padam walau apapun yang berlaku.

Ini, realiti ini. Pahitnya takkan cukup dengan sekadar membayangkannya saja dengan fikiran. Sakitnya takkan sama dengan setakat mengandaikan segala-galanya dalam minda. Kepahitan dan kesakitan yang sangat benar itu gua yang tanggung tiap-tiap satunya. Gua yang merasa dan melalui semuanya. Gua hidup dalam kekalutan mencari diri sendiri dan gua terpaksa mengharungi saat-saat yang memeritkan itu sendirian tanpa ada sesiapa di sisi yang membantu. Gua rebah, gua tersungkur dan terluka sampai parah tapi gua terpaksa merangkak terketar-ketar untuk bangun dengan tangan gua sendiri. Gua tempuh hari-hari yang menyakitkan keseorangan dan gua tak pernah punya sesiapa untuk mengadu melepaskan beban yang menyesakkan jiwa gua. Gua terkontang-kanting tanpa arah tujuan menghadapi segala cabaran dan kepayahan yang terus-terusan membunuh perasaan gua ni.

Hakikatnya gua memang bukan manusia yang penuh dengan jiwa dan emosi, penuh dengan segala perasaan, pengertian dan guapun tak cuba nak menyelami naluri sesiapa. Apa yang gua mengerti dan faham cuma kenyataan hidup gua sendiri. Gua tahu betapa sakitnya untuk lalui malam-malam yang sangat sepi bila bersendirian. Gua tahu betapa menakutkan bila tiba-tiba terjaga di tengah malam untuk melihat diri ditinggalkan dan tak mampu nak buat apa-apa bagi menghalangnya. Gua tahu betapa resah dan ngeri bila cuba mencari sesuatu dalam dingin malam tapi tak dapat nak jumpa apa-apa. Gua tahu betapa ngeri dan sesaknya hidup yang kosong dan hari-hari itu pula menjadi terlalu lengang sampai lemas jiwa dalam kebisuan yang sangat-sangat pekat menghimpit seluruh ceruk ruang. Gua tahu betapa kejamnya untuk menanggung semua tu dan apa yang lebih kejam adalah menanggungnya seorang diri!

Gua memang tahu sangat-sangat kerana semua tu adalah realiti hidup gua! Gua tahu memang sakit sangat-sangat bila mengharap dengan sepenuh perasaan, menunggu dengan sepenuh hati tapi akhirnya tertipu dengan perasaan sendiri dan apa yang bermain dalam fikiran tu sebenarnya macam langit dengan bumi daripada kenyataan. Gua tahu sakit dan kecewa itu bila dengan selurus-lurusnya meminta, menanti tapi apa yang dibayang-bayangkan, diangan-angankan sebenarnya langsung tak ada. Gua tahu kesakitan itu! Bila gua masih tak memahami apa-apa dan gua ditinggalkan, dihukum tanpa belas untuk mengharungi hari-hari yang begitu melukakan. Gua tahu macammana pedih dan pahit bila keseorangan tertanya-tanya, tercari-cari di mana silap dan salah gua hingga gua tersisih, tersingkir, terbuang sendiri tak berharga. Gua tahu betapa lukanya untuk lalui saat-saat macam tu, untuk menangis dalam kesakitan dan takde sesiapa yang pernah tahu, pernah faham betapa peritnya jiwa gua yang sebenar!

Gua tahu, dan gua masih merasakan segala-galanya. Gua hidup terumbang-ambing tanpa bimbingan dan panduan. Gua terbiar tanpa arah, teraba-raba dalam ketakutan untuk mengatur langkah gua sendiri. Gua meniti usia dalam kekosongan, kesepian cuba membina keyakinan dalam diri sendiri sedangkan dunia tak henti-henti menguji semangat gua yang tercalar. Gua cuba tepis tuduhan yang mendakwa gua tak berguna, tapi makin gua tolak makin banyak kenyataan yang bercelaru yang hanya mengiyakan lagi semua penghinaan itu. Gua semakin terkontang-kanting dalam mencari harga diri, mencari kehormatan diri sedangkan seluruh dunia dan hakikat yang datang menafikan sebarang kebaikan pada diri gua. Gua ketakutan, gua resah dan keliru menyusun haluan dan berkali-kali gua tersasar, tergelincir hingga kekuatan gua terhakis namun dalam kerunsingan dan kesakitan yang menyeksakan itu, tak pernah ada sesiapa yang cuba mengerti mahu mendekati dan membantu gua sebaliknya gua dikecam dan dikeji tanpa henti. Gua dihukum berterusan malah hidup gua dijadikan bahan hinaan semurahnya tanpa sebarang ihsan dan pembelaan.

Sesungguhnya, tak ada sesiapapun dengan rela hati memilih jalan yang menyukarkan untuk hidup di dunia ni. Kalau ada pilihan, gua juga tak nak kehidupan yang tak menentu dan payah tapi kenapa dunia seolah-olah tak nak mengerti semua tu? Kenapa hanya tambahkan beban gua dan sama-sama menolak untuk tengok gua terkandas sedangkan segala kecelaruan dan kekacauan yang memenuhi hidup gua tu memang dah tersedia dari azali sebab gua memang dah dilahirkan dalam kehidupan yang celaru dan kacau. Gua datang dari dunia yang bergolak sedangkan gua tak pernah pilih dan tak pernah mintak langsung untuk jadi macam tu. Apa yang gua mahu hanyalah untuk keluar daripada dunia yang menyakitkan itu tapi saat gua terkapar-kapar berjuang meletakkan kehidupan gua pada landasan yang betul, tak ada sesiapa yang mahu membantu untuk selamatkan jiwa gua yang mungkin masih menjanjikan harapan. Sesungguhnya, dengan keadaan gua yang serba haru-biru tanpa punca tak mampu nak perbetulkan segala kemelut bersendirian.

Atau, apakah kehidupan memang sezalim itu? Untuk membiarkan seseorang yang amat memerlukan sokongan terkial-kial seorang diri sampai kecundang dan musnah malah datang berpusu-pusu beramai-ramai selepas itu semata-mata untuk melihat sambil menggeleng kepala dan mengecam penuh jijik lagak amat mulia di sisi Tuhan. Ah, apa-apa sajalah! Tengok saja dah kat mana gua berada sekarang ni. Dah terlalu jauh, dah gelap-gelita di hujung-hujung jalan ni. Gua dah tak perlu nak pedulikan semua tu lagi dah sebab ianya dah tak bermakna lagi untuk gua. Hari ni, gua cuma angkat kepala gua pandang ke depan dan sesungguhnya apa yang gua nampak cuma kehitaman dan kekosongan yang tak berkesudahan.

....bersambung....

Tiada ulasan: