Ahad, 11 Disember 2011

Jalan Yang Satu Lagi (cerita bodoh-bodoh)

Azam pandang keliling dengan keliru bersama beg pakaian yang dijimbitnya. Beribu macam soalan bermain-main di fikiran. Ke mana harus dia tuju dan di mana hendak dia rebahkan kepala untuk bermalam malam ini? Kini dia berada di kota yang amat asing dan baru baginya. Ke mana harus dia pergi? Dia melilau ke sana ke mari dan dek kerana sibuk meninjau keliling dia telah merempuh seseorang tanpa disengajakan. "Hoi, buta ke apa?! Jalan pakai hidung ke?"

Azam segera meminta maaf, "Maaf Bang. Saya tak sengaja. Abang tak apa-apa?" Dia tunduk membantu lelaki itu bangun. Lelaki yang pada mulanya marah mengendurkan sedikit suaranya apabila mendengar Azam meminta maaf. "Gua OK." Setelah berdiri sambil mengebas-ngebas baju-seluarnya barulah lelaki itu melihat orang yang melanggarnya dengan lebih jelas. Budak lagi! Dari raut wajahnya tak mungkin dia berusia lebih dari 18 tahun. Dia perhatikan Azam dan walaupun dengan sekilas pandang dia dapat mengagak bahawa Azam bukannya orang dari tempat itu.

"Lu baru first time datang sini ya, budak?" Dengan lurus, Azam mengangguk kepala mengiyakan soalan lelaki itu. Sekali lagi dia perhatikan Azam dari atas ke bawah dan dia menggeleng kepala perlahan, "Lu ni ada tempat ke nak tuju? Tahu ke mana nak pergi? Lu tahu ke apa nak buat?" "Err.." Azam kelihatan bingung. Dia terkulat-kulat ingin menjawab pertanyaan lelaki itu. Lelaki itu tak menunggu lama terus saja memaut bahu Azam sambil mengeluh kecil, "Gua dah agak dah. Tengok mukapun gua dah tahu. Lu ni muda lagi, kan? Berapa umur lu? 17? 18? Nama lu?" " 16. Nak masuk 17 lagi dua bulan. Azam." "Oo.. Azam. Gua Slash. Mesti lu lapar, kan? Jomlah. Ikut gua. Gua belanja lu makan." Dalam terpinga-pinga Azam turutkan saja langkah lelaki itu.




Gelap. Sempit. Berserabut! Semuanya tunggang-langgang dan satu-satunya perabot yang ada hanyalah tilam usang dihiasi dengan beberapa helai pakaian berserakan. Azam cuma terkebil-kebil sambil memaksa senyum sebaik sahaja menjejak masuk melihat keadaan tempat tinggal Slash. Slash ketawa sinis. "Apa lu ingat gua nak ajak lu duduk hotel lima bintang? Mimpilah lu. Tak payah buat muka terkejut macam tu. Lu bawak-bawak la belajar hidup dengan bau hapak dalam ‘syurga’ kota gua ni." Slash melabuhkan duduk di lantai seraya menyalakan rokok di bibirnya.

"La.. Yang lu dok tercegat lagi tu kenapa? Duduklah. Sekarang ni inilah rumah lu. Tinggal sini aje." Azam mengangguk-angguk sambil tersenyum kecil. Nampak benar dibuat-buat! Slash tahu sangat dan dia sedar apa yang sedang bermain di fikiran budak muda itu namun dia tak mengambil hati langsung. Dia tak berkata apa-apa, sekadar diam melayan rokok di bibir dan tenggelam dalam fikirannya sendiri.

"Err.. Abang. Kiblat arah mana? Waktu Maghrib dah nak habis ni. Saya nak solat." Slash berpaling memandang Azam. Dahinya berkerut. Sudah sekian lama arah yang satu itu tak menjadi arah yang  dihiraukannya. Dia diam sebentar mencari daerah asing itu. "Kalau tak salah gua belah sana kot." Azam mengangguk. Dalam keadaan serba kotor dan bersepah, dia mengambil wuduk di tandas dan kemudiannya keluar membentang sejadah bagi menghadap Yang-Esa. Slash tunduk dan sepintas, dia mengerling sepi memandang ke arah Azam yang sedang khusyuk menunaikan solat.




"Sebenarnya apa rancangan lu? Lu dah ada idea ke apa lu nak buat nak hidup kat bandar besar ni?" Azam memandang kejauhan. Dia jungkit bahu. "Entahlah. Cari je la apa kerja yang ada. Rezeki ada kat mana-mana. Ulat dalam batupun boleh hidup." Slash ketawa sinis, " Memanglah. Ulat bukannya pakai duit." Slash sedut rokoknya dan kemudian menghembuskan asap rokok ke udara.

"Lu ni mesti lari dari rumah, kan?" Azam terkejut. "Mana abang tahu?" Dia bertanya namun akhirnya memutuskan dia tak perlukan jawapan untuk soalan tersebut. Perlahan-lahan dia mengangguk mengiyakan telahan Slash itu. "Gua dah agak dah. Apa kes lu ni?" "Saya dah tak tahan lagi dok kat rumah tu, abang. Apa yang saya buat semuanya salah. Pilihan saya tak pernah betul. Asyik-asyik saya dipandang macam budak kecik yang tak tahu berfikir dan tak boleh buat keputusan sendiri. Saya dah dewasa. Saya boleh hidup sendiri dengan jalan yang saya tentukan. Saya tahu uruskan diri sendiri. Saya nak buktikan saya bukan budak-budak, saya boleh hidup berdikari."
"Ooo.. Macam tu. Gua tahu ni cerita ni. Nak cari haluan sendiri, cari kehidupan sendiri yang tak dikawal sesiapa." "Saya dah bosan asyik kena kongkong, kena marah sepanjang masa, abang. Dia orang tak pernah ambik peduli perasaan saya, apa yang saya nak. Saya nekad tinggalkan rumah. Tak larat lagi saya nak dengar leteran, dipaksa itu ini dan selalu dibangkang macam saya ni bodoh, tak reti berfikir langsung. Abang tentu faham, kan? Abang bebas tentukan haluan abang sendiri. Hidup dengan cara sendiri, tak ada orang yang asyik pertikai itu ini."

Slash terangguk-angguk. "Kalau macam tu lu dok sini kerja dengan gua ajelah, budak." "Kerja dengan abang? Abang kerja apa?" Soalan Azam itu buat Slash tergelak kuat. "Pegawai bank!” Azam kerut kening, kurang mengerti. "Lu ni lurus sangat." "Maksud abang?" Slash menggeleng lagi. "Nanti lu taulah gua kerja apa. Naif sangat lu ni. Nak hidup, bro. Bukannya murah." Azam semakin tak mengerti dengan kata-kata Slash. Slash ketawa lagi. "Tunggu dan lihat ajelah. Belajar."

Untuk seketika, mereka sekadar berdiam diri. Kemudian muncul seorang wanita melalui tempat lepak mereka itu. Tiba-tiba Slash bangun lalu mengekori wanita tersebut dari belakang. Azam hairan melihat gerak-geri Slash yang mendadak dan hampir tercabut jantungnya apabila menyaksikan bagaimana Slash meragut beg tangan wanita itu sepantas kilat. Dia tergamam namun dalam berdolak-dalik dengan segala macam rasa Azam tahu yang dia tiada pilihan lain selain daripada lari bersama-sama Slash.




Slash ketawa mengekek. Azam hairan. Apa yang berlaku sebentar tadi seolah-olah satu gurauan yang melucukan bagi Slash. "Banyak jugak duit perempuan tadi. Rezeki lulah Zam. Nampak gayanya malam ni bolehlah lu makan besar." Azam kelihatan terkulat-kulat. Makan dengan duit hasil ragut? "Yang lu tercengang macam tu apasal?" "Itu duit haram, bang. Abang tak rasa berdosa ke nak makan duit haram?" Mendengar kata-kata Azam, Slash naik berang lalu menjegilkan matanya ke arah budak muda itu. Kata-kata Azam amat membakar perasaannya dan dia berasa sangat marah, namun kemarahannya menjadi kendur apabila melihat air muka Azam. Dia ketawa kecil. Air muka macam tu. Air muka naif yang jernih dan bersih. Akhirnya dia terdiam sambil menggeleng kepala dalam keluhan dan kemudian perlahan-lahan dia menyandar ke dinding dengan tenang.

"Lu patah balik ajelah, budak," memandang kejauhan, Slash bersuara perlahan, "Lu bukan gua. Masih jauh lagi dari nak jadi gua. Tak payah la. Baik balik aje." Azam terdiam tanpa kata. Perlahan-lahan dia turut melabuhkan duduk di sebelah Slash. "Air muka seposen lurus bendul macam lu tu gua pernah tengok dulu. Air muka budak bersih. Tapi dulu-dulu. Zaman pra sejarah dulu. Sekarang dah tak ada dah. Dah kena bunuh kat luar sana." Azam memandang Slash dengan penuh minat, "Maksud abang?" Slash ketawa sumbing. Dia telan liur pahit, tenggelam dalam lamunan sejarah.

"Percayalah cakap gua, budak. Lu tak nak jadi macam gua." "Jadi macam abang?" Slash tersenyum meleret, "Lu ada masa lagi. Baliklah. Gua tengok lu ni budak baik-baik. Bersih. Lu cuma marah. Darah tengah panas. Tak lama tu. Lu tak nak buat macam ni. Nanti lu tahu. Jangan sampai lu dah sesat masuk hutan belantara tak tahu macammana nak balik baru lu tahu lu tak nak buat apa yang lu buat sekarang. Jangan sampai jadi nyanyuk, salah ambik jalan dan sudahnya jadi makin sesat. Silap hari bulan lu terjun lombong. Mukapun dah tak elok. Habis hitam legam. Macam gua." Dia ketawa. Namun ketawa itu akhirnya berganti dengan riak wajah suram.

"Apa sebenarnya yang berlaku kat abang? Macammana abang boleh ada kat sini?" Slash senyum balik, namun kelat. "Cerita yang sama. Budak mentah setahun jagung kat tempat asing. Cuma lu ada tempat nak balik, gua tak ada. Lu ada jalan yang satu lagi tapi gua tak ada jalan lain. Lu tak tahu sebenarnya bertuah tak bertuah bila ada orang yang nak marah, nak berleter kat lu. Mahal tu, bro. Kalau ada jual kat kedai dah lama dah gua beli. Tapi nasib masing-masinglah. Bukan semua orang ada tempat boleh balik, ada orang-orang yang akan risau. Gua rasa hal ni lu sendiripun tahu. Lu dah buat orang-orang risau kat lu. Gua tahu lu bukannya budak bodoh tak boleh fikir tu semua. Kerja pendek akal. Ambik jalan yang satu lagi tu, budak. Balik. Ada tempat boleh balik, balik ajelah."

Azam terkedu. Slash sengih memandang budak muda yang sedang berkira-kira dengan dirinya sendiri itu. "Mula-mula gua ingat nak ajak lu dok sini biar buat kerja dengan gua. Hijau, senang bentuk. Hahaha.. Nampak gayanya tak jadilah. Hamprak je. Tak sesuai langsunglah lu ni. Buang tenaga gua aje kalau nak susah-payah pulak tak pasal-pasal tolong rosakkan budak macam lu. Hehehe.. Baik gua tidur. Rasa penat pulak badan ni." Slash lantas menggeliat membetulkan badannya sambil menguap kecil. Dia bergerak ke tilam dan terus merebahkan tubuh. "Lu fikirlah masak-masak, ya budak. Harap-harap bila gua bangun nanti lu dah blah dah dari sini. Bukan gua nak halau lu tapi gua rasa esok-lusa lu akan berterimakasih jugak kat gua."



Mentari menyinsing. Satu lagi hari baru untuk semua. Slash menggeliat seraya tersenyum kecil. Nampaknya hari ini dia telah kembali bersendirian lagi di sini. Ah.. Hari baru, cerita baru!



'Seseorang pernah beritahu aku supaya ambil jalan yang satu lagi kerana ada jalan yang satu lagi yang lebih baik dan baliklah kerana ada tempat untuk balik. Saat ini baru aku mengerti betapa kata-kata itu cukup bermakna dan seperti yang turut dia katakan pada aku ketika itu bahawa esok-lusa nanti aku pasti akan berterimakasih kepadanya, memang benar, aku berterima kasih kepadanya hari ini. Sesungguhnya aku bertuah kerana dia adalah orang yang aku jumpa sewaktu aku berada di antara dua jalan dan aku bersyukur kerana aku telah memilih untuk mengambil jalan yang satu lagi.... '

(2004)

1 ulasan:

Kisah Entah berkata...

Jalan. Masih cari jalan....