Jumaat, 25 April 2008

Jalan Hitam (24)

Dari hari ke hari gua tengok cermin ni makin kelabu. Apa sebabnya guapun tak tahu. Sekarang wajah gua sendiripun dah tak kelihatan lagi. Siapa diri gua ni? Betul ke bayang yang gua nampak di cermin adalah gua?

Dari hari ke hari kekeliruan gua makin bertambah. Gua tak tahu ke mana sebenarnya patut gua pergi. Hari demi hari segalanya terus berubah. Cermin gua dah pudar. Hidup guapun semakin tak menentu. Gua tak tahu kenapa jadi macam tu.

Gua rasa terumbang-ambing. Adakalanya gua buntu. Terlalu banyak simpang yang muncul entah dari mana bersilang-selirat depan mata gua. Gua bingung, dan kadang-kadang gua rasa takut untuk melangkah. Mana satu arah yang patut gua turut? Macammana gua nak tahu pilihan apa yang tepat, yang paling selamat?

Ya Allah! Gua benar-benar keliru. Jejak gua ini rasa cukup rapuh. Gua resah, gua gerun. Gua rasa lemah bila memikirkan segala onak duri yang bakal menanti gua pada setiap jalan yang gua pilih. Sesungguhnya, gua tak berdaya. Gua perlukan sokongan dan bimbingan untuk menyuluh titian gua yang sentiasa gelap.

Gua ingin memperbaiki segala kekurangan diri. Gua betul-betul berharap. Gua sedar gua banyak kelemahan. Gua harap ada insan-insan mulia yang nak membantu menyelamatkan diri gua dari tersasar. Gua harap ada manusia-manusia yang akan rasa ihsan datang memimpin dan menunjuk arah pada gua. Gua harap gua akan diterima seadanya tanpa dibanding-bandingkan, dibezakan dengan orang lain.

Gua amat sunyi sebenarnya. Gua perlukan teman untuk menyayangi gua dengan ikhlas. Sudikah terima diri gua ini? Ada tak sesiapa yang sanggup sambut tangan gua untuk bawa gua ke dunia yang lebih terjamin? Adakah gua akan diberikan peluang? Berikanlah! Gua amat perlukan peluang itu. Berikanlah gua kesempatan untuk turut sama merasa kebahagiaan hidup yang ada di dalam dunia ni.

Gua tak minta wang ringgit atau puji-pujian yang melangit. Cukuplah kalau gua dapat diterima tanpa ada pandangan serong atau rasa curiga. Asalkan gua tak disisihkan, gua dah cukup berterimakasih. Beri gua sekecil-kecil ruangpun tak apa asalkan gua tak terbuang jauh. Sekurang-kurangnya gua tahu gua masih ada tempat dalam dunia ni, bukan terpinggir sendirian terkontang-kanting dalam hidup.

Gua sedar mungkin zahir gua tak pernah mencerminkan apa yang sebenar-benarnya terpendam dalam jiwa gua tapi sesungguhnya gua juga ada hati dan perasaan. Jauh dalam diri gua tetap mengharapkan kasih-sayang dan perhatian. Gua tak nak terpinggir dan tak sanggup terbuang tanpa ada yang peduli kerana gua tahu hidup bersendirian dalam dunia yang keras mencengkam ni adalah benda yang menyakitkan. Gua tak nak jadi rosak dengan segala kegelapan bila gua terumbang-ambing tanpa panduan. Dalam keadaan yang serba rapuh macam ni, gua perlukan perlindungan agar gua tak mudah kecundang. Gua tak nak tumbang. Gua harap, bantulah gua keluarkan gua dari kedudukan genting. Bantu gua untuk pulihkan segala kekalutan yang melanda.

Gua pernah dengar orang menyebut pasal kasih-sayang. Kasih-sayang itu ada kuasa yang boleh mengembalikan kekuatan seseorang jadi berilah gua kasih-sayang itu supaya gua boleh mengembalikan semula kekuatan gua yang semakin tercalar. Gua nak belajar mengenalinya. Gua nak belajar menerimanya dalam hidup. Gua nak biasakan diri hidup dengan kehidupan berkasih-sayang macam yang selalu disebut-sebut itu. Tapi gua tak faham, kenapa semua orang macam nak larikan diri dari gua? Pelik! Bila gua dekat mereka menjauhkan diri. Gua tak faham. Kenapa kebanyakan manusia yang gua jumpa tak berani nak hampiri gua?

Janganlah lari. Tunggu! Jangan jauhkan diri dari gua. Janganlah takut. Gua tak berniat jahat. Nanti! Beri peluang dulu untuk kenal hati budi gua. Beri peluang untuk tengok hati gua yang sebenar sebelum buat apa-apa keputusan. Jangan terburu-buru angkat kaki. Beri peluang untuk menilai dengan lebih mendalam siapa diri gua yang sebenar.

Tolonglah beri peluang pada gua. Gua perlukan sokongan untuk meneruskan hidup gua dengan lebih baik. Gua tak nak tenggelam. Gua perlukan penerimaan. Andai benar kenyataan tentang kemuliaan hati dan nilai kasih-sayang itu, tunjukkanlah pada gua. Berilah kesempatan untuk gua meyakininya. Jangan ranapkan harapan yang masih bernyawa dalam diri gua ni. Tolonglah tunjukkan pada gua agar gua tak tergelincir dan kecundang sendirian.

Dalam kekeliruan, gua merayu dan menagih perhatian dari insan yang punya belas. Dalam serba kekurangan, gua menunggu dan mengharap agar diterima. Bantulah diri gua. Berikan semangat pada gua untuk melawan dugaan yang datang. Selamatkanlah gua daripada tersungkur dengan cabaran yang datang menguji.

Gua merayu agar tak disingkirkan. Gua meminta, mengharap agar gua dikasihani. Jangan sisihkan gua. Jangan hina gua dan kecam diri gua tanpa henti. Jangan tolak gua ke tepi. Tolonglah! Penghinaan itu menyakitkan hati gua. Kecaman itu melukakan semangat gua. Janganlah tambahkan lagi beban gua. Tolonglah!

Dalam penuh ketidakupayaan, gua mendamba dan merayu pada manusia yang sering menjanjikan pembelaan. Dalam luka yang parah gua mengharap agar gua diberi peluang. Tapi manusia-manusia itu satu demi satu mengelakkan diri. Dalam kebingungan gua lihat ramai yang menutup pintu pada gua. Kenapa? Apa yang tak kena pada gua? Apa salah gua? Gua seret kaki yang berdarah ke sana ke mari tapi satu demi satu tingkap dikunci, ruang ditutup hingga gua tertinggal seorang jauh di luar. Gua tak faham! Kenapa mereka benci sangat pada gua? Gua dicampak, disingkir dan diketepikan! Kenapa? Hina sangat ke gua ni? Keji sangat ke diri gua sampai layan gua macam ni?

Di luar laman yang kosong, gua menangis sendirian memeluk tubuh gua yang kesejukan. Kenapa asingkan gua di luar sendirian? Kenapa sisih gua macam ni? Kenapa buat gua macam ni? Kenapa gua tak diterima? Apa dosa gua? Apa salah gua? Kotor sangat ke gua ni, keji sangat sampai tak layak untuk diterima seadanya?

Gua terus menangis dan menangis sendirian di luar. Tubuh gua semakin kesejukan dan cuaca semakin dingin. Kenapa tergamak biarkan gua dalam keadaan macam ni? Gua makin lemah dan lemah. Kalau berterusan macam ni mungkin gua tak dapat bertahan. Tolonglah jangan dibiarkan lagi. Tolonglah! Kenapa tak ada sesiapapun yang peduli? Kenapa tak ada sesiapapun yang endahkan rayuan gua? Kenapa terus membatu tanpa reaksi? Hari dah gelap. Hari dah malam. Kenapa tergamak terus biarkan gua kedinginan dan terasing seorang diri di luar? Tolonglah! Gua tak dapat bertahan lagi. Tolonglah!

Ya, tolong keparat lu!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Argh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Gua tak percaya gua boleh terpedaya dengan semua sampah-sarap yang mengarut tu!!!!!!!! Kata-kata kosong yang disusun untuk menyedapkan telinga. Entah nak buat apa. Tak ada faedah langsung!! Baik pergi mampus saja dengan segala perhatian dan bimbingan tu!! Pergi jahanam saja!! Buat gua rasa muak dan nak muntah dengar sembang melangit yang tak pernah sampai ke mana. Persetankan saja!! Bohong sana, bohong sini. Semua bohong!! Konon saja ada harapan, ada tempat mengadu, tempat berpaut. Ah!!!! Karut!! Gua ludah atas semua tu!!!! Dah berapa tahun gua cuba merayu?! Dah berapa lama gua meminta?! Pernah ke ada orang yang nak peduli sejak bertahun-tahun lamanya?! Pernah ke ada sesiapa yang betul-betul nak buka mata?! Cakap saja yang menggunung sampai ke syurga sedangkan realitinya gua terbiar macam sampah, terbuang sendirian takde arah tuju tak ubah macam binatang kat tepi jalan. Mana mereka yang bercakap itu waktu itu?!

Buang masa gua saja layan cerita-cerita yang tak ada makna yang ayat-ayatnya saja lebih tapi habukpun tak ada. Semua macam bagus, semua macam tak ada cacat-cela tapi semua tak boleh pakai. Sedap sungguh buat halwa telinga macam menyediakan harapan yang takkan habis sampai mati. Cerita pasal peluang, pasal keadilan, pasal kasih-sayang yang cukup menarik dan menghiburkan. Entah nak buat apa!! Kalau semata-mata khabar angin, semata-mata kisah dongeng untuk menjanakan angan-angan kosong, untuk apa ceritakan pada gua? Gua lebih rela tak pernah dengar langsung semua tu daripada bazirkan harapan gua selama bertahun-tahun dengan membayangkan benda yang tak wujud untuk gua. Entah untuk apa gua tumpahkan berkarung-karung airmata, mengharap macam sial pada sandiwara manusia yang konon-konon mulia dan suci sangat tapi hakikatnya, dari dulu sampai sekarang sape yang pernah ada saat gua separuh mati hadapi waktu-waktu yang memeritkan dalam hidup gua? Sape yang pernah ada untuk jadi tempat mengadu bila gua menderita? Kasih-sayang sana, kasih-sayang sini tapi kat mana sebenarnya kasih-sayang tu, beb?! Apa harganya kalau sekian lama gua tetap jugak kena hadapi sakit-perit dalam jiwa gua sendirian?

Dah cukuplah tu rasanya, beb! Gua dah tak berminat dah nak layan permainan tu lagi. Gua dah jemu!! Gua rasa jelak dengan cerita-cerita dongeng yang macam bagus yang dijaja pada gua selama ni. Hari ni gua pulangkan balik semuanya. Ambillah balik. Gua dah tak hairan dengan fantasi indah yang dimomok-momokkan pada gua selama ni. Gua dah tak mahukannya lagi. Tak ada ertinya lagi untuk gua. Bimbingan, kasih-sayang, atau apa saja nama gelarannya, gua dah tak perlukan lagi hari ni. Kutip belaka semua tu dan pergi jauh-jauh dari hidup gua. Pergi saja!

Hari ni, air mata gua dah kering. Tangisan gua dah terhenti dan berakhir. Cermin yang kelabu tu akhirnya gua pecahkan juga dan atas kaca-kaca yang berkecai itulah gua berpijak untuk meneruskan hidup di bumi yang tak berperasaan ni. Biar saja macam tu. Kelak, dah tak ada apa-apa lagi yang perlu untuk ditoleh atau dikesalkan sesiapa....

bersambung....

Tiada ulasan: