Sabtu, 26 April 2008

Jalan Hitam (25)

Fariz termenung dalam cahaya samar dari lampu koridor. Tiada perkara lain yang bermain di fikirannya melainkan Nurul. Fariz memikirkan perkenalan mereka, kehidupan pada hari ini, dan dia turut memikirkan apa yang mungkin berlaku pada masa depan.

Dia amat bahagia dengan kehadiran Nurul dalam hidupnya. Kalau boleh dia nak kehidupan macam ni berterusan sampai bila-bila. Dia nak bersama Nurul sampai mati! Tapi, layak ke dia untuk mengimpikan gadis yang sebaik itu? Apa yang dia ada jika dibandingkan dengan Nurul yang baik dan cantik itu?

Fariz rasa kelu sendiri bila dia ukur diri. Rasa malu sangat nak berangan dapat hidup di samping Nurul. Siapalah dirinya itu. Dia cuma anak yatim-piatu yang sejak kecil lagi menetap di rumah kebajikan. Jangan kata kedudukan, latar-belakang dan asal-usul diri sendiripun dia tak dapat nak pastikan. Dia cuma tahu dia sebatang kara atas dunia ni.

Memang Fariz sedar dia tak punya apa-apa. Bukan dia saja nak rendah-rendahkan diri sendiri tapi memang itu hakikatnya. Ukurlah dari sudut manapun, memang ada saja yang kurang pada dirinya. Fariz sedar. Dia tak boleh nak sembunyikan kenyataan yang jelas lagi terang.

Dia bukan orang yang berharta. Apa yang dia ada cuma katil besi dan kamar besar yang dikongsi beramai-ramai dengan penghuni lain di sini. Itupun kalau ianya boleh dipanggil harta. Selain itu, dia dah tak ada apa-apa lagi. Makan-pakaipun atas ihsan orang. Kalau dia tak menghuni di rumah kebajikan, maka dia cuma akan merempat di tepi jalan.

Di sekolahpun Fariz bukan pelajar yang baik. Dia tak pernah menonjol dalam pelajaran sebaliknya banyak rekod buruk sebagai kaki buli, budak bermasalah dan selalu ketinggalan dalam kelas. Keburukan dan kelemahannya berkarung-karung jika nak dibandingkan dengan Nurul yang bijak, yang rajin dan betul-betul baik hati itu. Fariz adalah semua yang bertentangan dengan perwatakan Nurul.

Tapi, dengan segala keburukan itupun Nurul masih panggil Fariz budak baik. Selalu marah dan berleter bila Fariz bercampur dengan budak-budak samseng. Bila terbayang macammana Nurul tunjuk garang tak bagi Fariz kawan dengan mereka, Fariz tersengih sendiri. Nurul memang kelakar. Padahal Fariz dengan budak-budak tu bukannya ada bezapun. Dua kali lima saja!

Ah, Nurul! Memang dia mencuit hati tapi dengan cara yang begitu manis sekali. Gadis comel tu sebenarnya cuma memberikan Fariz harga diri. Dia buat Fariz nampak jauh lebih baik daripada dirinya yang sebenar. Fariz bukannya budak yang menyenangkan hati orang tua macam Nurul tapi lucu Nurul layan dia seolah-olah dia juga sama macam tu.

Dalam diam Fariz kagum sebenarnya kerana Nurul sanggup pandang dia dengan pandangan yang baik-baik sedangkan dia sendiri tak pernah pandang dirinya macam tu. Nurul pari-pari dari kayangan agaknya. Pari-pari comel yang datang dalam hidup Fariz untuk disayangi. Tak kiralah samaada Fariz baik ke, Fariz jahat ke, dia tetap sayang Nurul dengan hati yang suci murni. Tak ada siapa boleh menandingi Fariz dalam hal ni.

Bila Fariz fikir-fikirkan, mungkin juga Nurul bukan sekadar mencuit hati tapi memang betul masih sesuatu yang baik pada dirinya dan Nurul nampak kebaikan tu. Kalau Fariz budak jahat, kenapa dia boleh sayang Nurul dengan begitu ikhlas macam ni? Mungkin Fariz saja yang tak sedar selama ni ada kebaikan pada dirinya macam apa yang Nurul cakap tu.

Tiba-tiba Fariz rasa macam ada harapan untuk dirinya. Fariz tanam keyakinan dalam dirinya. Dia takkan kecewakan Nurul. Kalau Nurul anggap dia baik, maka dia akan jadi baik betul-betul. Dia akan baiki semua kekurangan yang ada demi sayangnya pada Nurul. Yang penting, dia akan berusaha sedaya-upaya supaya tak hampakan Nurul yang comel itu. Nurullah cermin hati Fariz untuk melihat segala yang indah dan bermakna dalam kehidupan ini.

bersambung....

Tiada ulasan: