Jumaat, 16 Mei 2008

Jalan Hitam (29)

BAB 4

MANUSIA belajar mengenali dunia ini melalui pengalaman. Setiap suka-duka yang dilalui sepanjang meniti usia membentuk jiwa mereka dan mencorak pandangan mereka terhadap dunia. Apa yang membezakan di antara setiap mereka hanyalah pengalaman yang mereka tempuhi itu.


Tubuh Fariz dibaluti kedinginan yang amat sangat. Dia meringkuk di lantai yang kotor dan berdebu untuk merehatkan diri yang terlalu letih setelah seharian merayau tanpa arah. Sesekali, perutnya berbunyi akibat lapar.

Fariz tak tahu ke mana dia nak pergi. Dia tak pasti ke mana nak dituju. Dia cuma ingin pergi jauh, jauh dari segalanya. Dia tak sanggup untuk pulang ke sana lagi walau apapun yang berlaku.

Suasana gelap dan lembap. Budak kecil yang berusia lima tahun itu memeluk tubuh di lantai kakilima tanpa selimut selain angin kota yang sejuk dan kotor di tengah-tengah malam. Walaupun kesejukan namun Fariz mampu terlelap kerana kepenatan. Perutnya lapar, tekaknya dahaga, tapi tanpa satu senpun duit, apa yang mampu dia lakukan?

Dalam tidur yang serba tak selesa itu Fariz masih dapat membayangkan renungan mata mereka yang penuh syak wasangka dan penghinaan terhadapnya. Dia benci itu semua! Dia benci mereka menuduh dan mendakwanya bukan-bukan. Dia tak pernah buat apa yang mereka tuduh itu tapi tak ada siapa yang mempercayainya. Hanya Tuhan yang tahu dia tak pernah mencuri sepertimana yang mereka dakwa.


Wajah Fariz terasa panas akibat percikan matahari pagi. Dia mula terjaga dari tidur tetapi suasana yang tiba-tiba menjadi riuh-rendah membuatkan dia terpinga-pinga. Beberapa orang pengemis yang berada di kakilima bertempiaran melarikan diri. Fariz masih tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah dirinya ditangkap dan dibawa pergi dari situ.

bersambung....

Tiada ulasan: