Jumaat, 30 Mei 2008

Ntahapehapentah (3)

Setiap kali dia gerakkan kepala, setiap kali itulah Kay terpaksa menyepak rambut yang jatuh menutupi mata. Dia menebar pandang sekilas ke sekeliling rumah. Kimi dan Olan dah membuta. Zul masih belum balik dan rasanya memang tak balik rumah malam ni. Zul memang dah biasa macam tu.

Kay lepas nafas panjang. Termenung memikirkan diri yang sedia sengkek sedang menganggur goyang kaki. Diam-diam dia ketawa dalam hati mengingatkan apa yang berlaku di tempat kerjanya sebelum ni. Kay tak berniat nak tumbuk bos sendiri, tapi dia tak dapat menahan marah bila dituduh atas kesalahan yang dia tak lakukan. Walaupun akhirnya dia rugi terpaksa berhenti kerja, tapi setidak-tidaknya dia puas hati. Jadi kuli tak bermakna boleh dipijak dan ditindas sesuka hati.

Sambil melayan fikiran, rokok tak lepas dari tangan. Kay hembus asap ke udara dan dia tengok jam di dinding. Waktu hampir ke pukul 3 pagi. Kebosanan mula menyerang diri. Mata langsung tak mengantuk untuk tidur. Berlegar-legar keliling rumah, akhirnya Kay sarung kembali baju lalu buat keputusan untuk keluar ambil angin.



Hari ini dan semalam. Satu perjalanan yang terlalu panjang hingga dia tercampak ke daerah yang asing ini.

Masa terus berlalu.

Nabilla raut rambut yang mengurai. Di luar jendela, suasana hening membuatkan jiwanya tenggelam. Matanya menyorot jauh, jauh ke dalam kelam dan di sana, ingatannya singgah pada sebuah wajah yang sering muncul akhir-akhir ini.

Siapa sebenarnya dia? Nabilla buntu. Entah kenapa dia sering membayangkan wajah itu walaupun hakikatnya mereka tak pernah kenal satu sama lain. Apa yang nyata, Nabilla senang dengan cara lelaki itu memandangnya. Seolah-olah di antara mereka cukup selesa dengan diri masing-masing. Ya, cukup selesa dan ada ketenangan di dalamnya.

Perlahan-lahan Nabilla bingkas dari katil menuju ke jendela. Tiba-tiba rasa nak menjenguk ke luar jendela. Keadaan di luar masih terang cuma agak sunyi. Mungkin dah jauh malam agaknya. Cuma manusia-manusia malam macam dirinya yang masih berjaga waktu ini.

Nabilla pandang ke luar. Eh, dia! Lelaki itu! Nabilla tersenyum girang melihat lelaki itu sedang berjalan seorang diri di bawah. “Awak, tunggu!”

Terperanjat Kay bila tiba-tiba terdengar suara perempuan melaung dari atas. Biar betul! Dia cam suara tu. Kay dongak ke atas. Sekilas dia seperti nampak wajah gadis hari tu namun terlalu pantas dia lesap. Kay kerut kening.

Gua nampak betul ke gua khayal? Takkan sampai dah berdelusi, kot? Kay menggeleng sendiri. Baru berniat nak teruskan langkah, tiba-tiba muncul seseorang meluru dari tangga dan belum apa-apa gadis itu tersadung lalu rebah ke arahnya.

bersambung....

Tiada ulasan: