Jumaat, 13 Jun 2008

Jalan Hitam (31)

“Saya tak sangka awak kecik-kecik macam nipun dah pandai nak tunjuk perangai samseng. Apa masalah awak sebenarnya? Sekarang awak suka ke awak tak suka ke awak dah jadi sebahagian daripada keluarga besar kat sini. Penghuni-penghuni lain tu dah macam adik-beradik awak sendiri. Awak kena ingat sini bukan macam dunia awak dulu. Jangan awak nak ikut cara awak kat luar bawak masuk dalam ni. Semua masalah senang-senang awak nak selesaikan dengan cara kasar. Awak ditempatkan kat sini bukan untuk jadi gengster, faham tak? Kalau awak nak jadi gengster, awak boleh balik hidup kat dunia jalanan awak tu. Awak tak reti bersyukur ke? Dapat tempat tinggal percuma, dapat makan minum percuma, ada tempat berteduh. Macam ni ke cara awak berterimakasih dengan ihsan yang orang bagi kat awak? Cari pasal, cari gaduh dengan orang lain. Nak jadi apa awak ni hah kalau kecik-kecik macam ni dah samseng macam apa sampai abang-abang awak yang lagi tuapun teruk awak kerjakan. Awak nak bunuh dia orang ke apa?!”

Ia tak terus habis di situ. Fariz rasa nak tutup telinganya rapat-rapat. Fariz rasa nak menjerit dengan sekuat-kuat hatinya. Ia terus berlarutan, terus berpanjangan. Ia terus meleret-leret, terus berkumandang. Fariz benci! Dari mula lagi dia tak pernah mengganggu sesiapa, dia tak pernah buat apa-apa. Kenapa semua orang asyik menekan dan menyalahkan dirinya? Kenapa semua orang nak cari pasal dengannya? Dia tak bersalah! Fariz berteriak membela diri tapi sayangnya hanya hatinya saja yang mampu membentak dalam diam.



Fariz peluk erat beg sambil menghimpit dinding menyorokkan muka. Perlahan-lahan dia lepaskan tangisan di ceruk katil. Kenapa orang buat dia macam ni? Apa salah dirinya? Dia disakiti lagi, dikasari lagi. Fariz benar-benar rasa terguris dan sedih. Dia tak faham langsung kenapa orang nak buat dia macam tu.

Dalam tersedu-sedu, dia cuba menahan esakan. Sampai hati layan dia macam ni. Dia betul-betul sedih tapi dia tak ada tempat nak mengadu. Dia cuba pujuk diri sendiri, cuba untuk sebut nama seseorang yang mampu hilangkan duka hatinya namun dia tak punya sesiapa. Tak ada sesiapa yang betul-betul dekat dengannya untuk dia ingat, untuk dia sebut.

Fariz menangis lagi sendirian. Sampai hati betul! Mentang-mentanglah dia tak ada sesiapa mereka buli dan sakitkan dirinya. Mentang-mentanglah tak ada sesiapa yang boleh pertahankan dirinya, mereka tindas dia dengan sewenang-wenangnya. Tak apa, tak apa! Tengoklah nanti kalau ada orang baik-baik datang ambil Fariz bawa Fariz keluar dari sini. Baru mereka tahu. Baru mereka tak boleh buli dirinya lagi.

Tapi, cakap-cakap itu sebenarnya cuma cakap kosong yang dia bohongkan pada diri sendiri hanya untuk rasa lebih baik. Masa cuma beredar dan berlalu begitu sahaja. Tak ada sesiapa yang pernah datang untuk mengambilnya dari sana.

bersambung....

Tiada ulasan: