Menangis tanpa airmata. Meratap tanpa suara. Menyimpan sejuta rahsia. JALAN HITAM yang gelap-gelita.
Sepanjang perjalanan ini, apa yang lebih banyak tercatat hanyalah kedukaan dalam hidup gua. Semua yang kejap terpatri adalah kisah-kisah hitam yang tak dapat gua hakis dari ingatan. Mungkin tanpa gua sedari, satu-satunya teman yang paling akrab dengan jiwa gua ketika ini adalah sepi yang terus berpanjangan.
Sepanjang perjalanan ini, apa yang lebih banyak tercatat hanyalah kedukaan dalam hidup gua. Semua yang kejap terpatri adalah kisah-kisah hitam yang tak dapat gua hakis dari ingatan. Mungkin tanpa gua sedari, satu-satunya teman yang paling akrab dengan jiwa gua ketika ini adalah sepi yang terus berpanjangan.
Kalau gua mampu melalui semula segala-galanya, gua pasti akan melaluinya dengan cara yang berbeza. Gua tak akan biarkan diri gua jadi macam ni. Gua akan pilih untuk hidup lebih baik. Gua tak harap jadi sempurna, punya segalanya cuma gua ingin merasa hidup yang lebih tenang dan teratur. Kalau gua mampu buat macam tu, memang sepenuh jiwa-raga gua nak bersihkan hati gua dari setiap ingatan yang begitu banyak meninggalkan kemusnahan dan racun dalam hidup gua. Gua nak hapuskan semua tu, bebas dan lepaskan jiwa dari dibebankan dengan sebarang sejarah pahit.
Tapi, walaupun macam tu, hidup tak semudah yang kita harapkan. Kadang-kadang, apa yang kita mahukan sangat itulah yang kita takkan dapat. Sesetengah impian memang dah ditakdirkan untuk tak tercapai. Walaupun gua betul-betul berharap nak padamkan sejarah hitam dari hidup gua, itulah benda yang tak dapat gua lakukan. Gua memang betul-betul nak lupakan segala pengalaman yang menyakitkan perasaan tapi makin gua cuba, makin mendalam kesannya yang gua rasa. Gua tak mampu nak singkirkan kepahitan yang terlalu kuat melekat di hati gua selama ni.
Gua memang tak pernah termimpi kehidupan yang macam ni. Gua tak mampu nak lari sebab semua ni macam dah diatur dari awal. Guapun tak faham tapi itulah yang berlaku. Sejak mula lagi segala langkah dan jalan yang gua ikut seolah-olah dah menjuruskan gua ke sini. Gua tak boleh mengelak.
Hidup gua sering dilingkari kekosongan dan kesunyian yang entah datang dari mana. Walaupun dunia ni dipenuhi dengan bermacam-macam kemeriahan, kegirangan, tapi tak tahu kenapa gua rasa janggal dengan semua tu. Gua seolah-olah menarik diri dan berundur ke dalam dunia gua yang bisu. Gua sendiri tak nak jadi macam ni tapi semuanya dahpun ada dan gua dah hidup macam ni sekian lama. Gua dah jadi sebati dengan kekosongan. Gua tak mampu kembali pada keriangan dunia. Gua tak dapat nak jadi sebahagian daripada isi dunia yang sejati itu lagi. Gua memang dah tak mampu.
Ah! Sebenarnya gua bukan marah, bukan membenci atau berdendam pada dunia. Gua cuma dah tak merasa perasaan itu saja. Hati gua dah tawar dan gua tak dapat nak hayati keseronokan hidup dikelilingi tawa-ria dengan teman yang ramai. Waktu untuk gua perlukan semua tu dah berakhir lama dulu bila gua membesar dari kesakitan tanpa ada sesiapa yang mengerti dan membantu. Mungkin kalau saat tu tak berlalu macam tu, keadaan akan berbeza hari ni tapi sayangnya apa yang berlaku itulah yang berlaku dan suasana memang dah jadi macam ni.
Gua dah tak dapat nak rasa apa bila dengar kata-kata mesra atau sapaan ramah dari manusia yang menawarkan kasih-sayang dan menjanjikan kebahagiaan hidup. Hakikatnya, kalau gua luka, mereka takkan merasakannya. Merekapun takkan mati kalau gua mati. Semua orang ada urusan dan kepentingan diri masing-masing untuk difikirkan jadi biarlah mereka dengan urusan mereka dan gua dengan diri gua sendiri. Daripada gua mengharapkan orang lain untuk berkongsi kekosongan yang gua sendiripun tak dapat nak faham, gua lebih sanggup mengharungi semuanya sendirian macam biasa. Macam hari-hari lalu.
Gua tak mahukan simpati sesiapa. Gua rela pendam perasaan sendiri sampai hancur daripada gua terhegeh-hegeh minta belas menjaja kisah-kisah sedih. Memang kadang-kadang pengalaman membuatkan gua terbakar, panas diledakkan sakit yang tak pernah padam namun di sebalik semua tu, jauh di dalam hati, ada ketikanya gua rasa begitu sayu dan sedih bila merenung nasib diri sendiri.
Manusia tetap manusia. Walau sedegil mana, sekeras manapun jiwa, sikit-sebanyak tetap akan tersentuh di saat keseorangan menempuh hidup yang menyakitkan. Kadang-kadang, dalam tak sedar terlintas jugak di hati gua bertanya kenapa keadaan jadi macam tu dan kenapa kekecewaan tu sering berulang-ulang bila mengharap dan mengimpikan sesuatu tapi nak buat apa?
Apa gunanya lagi bercakap pasal impian dan harapan sedangkan kita dah tahu ia takkan tercapai. Biarlah macam ni saja. Tanpa impian dan harapanpun hidup tetap berjalan. Dunia yang tiada impian dan harapan ini tetap juga berputar, tetap berterusan. Tapi manusia mana yang mampu lari dari hatinya sendiri. Manusia mana yang mampu menafikan sepi dan hampa yang melanda dalam jiwa sendiri?
Hakikatnya, jiwa gua sebenarnya teramat sepi dan sunyi. Dah terlalu lama gua biarkan diri gua diselubungi kesedihan. Dah berkurun rasanya gua sunyi, gelap dan keseorangan. Puncanya adalah satu persoalan yang tak mampu gua jawab. Ia begitu pudar dan kelabu. Gua sendiri tak pasti samaada ia pernah berlaku atau tidak tapi ia sesuatu yang telah berlalu.
Bila gua imbau dan lihat balik kehidupan gua ni, ianya tak ubah macam sebatang jalan hitam. Segala-galanya cuma nampak pudar, kelam tak berseri. Walaupun mungkin pada satu masa jalan hitam tu pernah bercahaya tapi ia hanya seketika. Apa yang menanti seterusnya cuma kegelapan yang makin pekat dan melarat.
Ada hakikat di balik kehancuran ni yang gua sedari tapi pura-pura tak menyedari kerana gua tahu ia dah tak bermakna apa-apa. Mungkin gua pasrah dengan cara hidup gua hari ni. Apa lagi yang gua nak tentang? Apa lagi yang gua nak bantah? Gua tutup mata, tutup hati dan jiwa dari mendengar apa-apa yang mungkin masih bersisa dan terima ini sebagai kenyataan dalam hidup gua yang hanyut tak menentu.
Dunia yang luas ni gua rasakan makin kosong dari hari ke hari. Kenyataannya, gua terperangkap dalam kekosongan itu sendirian. Entahlah, gua tak tahu pada siapa boleh gua ceritakan apa yang berlaku ataupun yang sebenarnya, bagaimana gua nak ceritakan semua ni. Semakin lama ia semakin pudar tapi yang pudar hanya masa sedangkan semangat dan kehangatannya tetap berapi hingga ke saat ini. Mungkin kerana itu gua yang terbakar sendiri. Kerana itu mungkin gua memang ditakdirkan untuk menempuh realiti hidup yang hitam. Ya, seperti jalan hitam yang kosong dan sepi, sunyi-sepi.
bersambung....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan