Sabtu, 26 April 2008

Jalan Hitam (26)

Kalaulah gua tahu hakikat hidup tak semudah itu, gua takkan berikan harapan yang terlalu tinggi untuk diri gua sendiri mengimpikan sesuatu yang terlalu sempurna dan tak mungkin akan jadi kenyataan. Gua fikirkan segala-galanya begitu ringkas. Dengan hanya berharap sepenuh hati dan perasaan gua sangka gua dapat miliki segala keindahan dan kebahagiaan yang gua bayangkan dalam fikiran gua. Hati gua suci dan murni. Gua berdoa, bermimpi dengan setulus-tulus rasa, sejujur-jujur jiwa gua ni. Bermimpi dengan penuh naif dan tak pernah meragui apa-apa. Bermimpi dengan senekad-nekad hati tanpa ada teragak-agak dan berbelah-bahagi langsung. Bermimpi dengan jiwa gua yang mentah dan buta dengan kerakusan dunia. Betapa putih dan bersihnya mimpi gua saat itu.

Gua genggam tangan gua dan merasakan betapa dengan genggaman itu gua mampu capai semua cita-cita dan angan-angan gua. Gua tak pernah berpaling, tak pernah ada curiga dan tak pernah mempersoalkan apa-apa. Dengan setinggi-tinggi hasrat gua hanya membayangkan bahawa ia akan berlaku macam apa yang ada dalam fikiran gua. Gua fikir kalau gua bersungguh-sungguh mahukan sesuatu dan berharap dengan sepenuh hati dan perasaan gua maka semua impian gua akan jadi kenyataan. Lalu guapun curahkan seluruh jiwa-raga gua untuk berharap dengan andaian gua akan miliki apa yang gua harapkan kerana gua ikhlas. Tak ada apa yang rumit tentang itu. Semua harapan gua pasti akan jadi kenyataan. Semua andaian akan tercapai asalkan gua berusaha dan percaya pada diri sendiri.

Serumit mana sangat untuk buat macam tu? Untuk membentuk masa depan dan mengejar impian yang suci. Segala-galanya ringkas saja. Masa depan ada dalam genggaman. Gua tidur malam-malam itu dengan hanya membayangkan bila gua bangun esok semua mimpi-mimpi gua akan menanti untuk gua nikmati dengan penuh bahagia. Gua percaya tanpa curiga sedikitpun pada bayangan indah yang gua semat dalam jiwa gua tu. Gua percaya gua akan miliki impian gua hingga tak sekali-kalipun gua fikirkan kemungkinan yang lain kerana keinginan gua buta pada segala-galanya. Gua inginkan sesuatu dengan terlalu menginginkannya sampai gua tak fikir tentang perkara lain. Tak ada pilihan yang lain lagi untuk gua. Kenapa mesti gua perlukan pilihan lain? Memang itu satu-satunya yang gua mahukan dan gua cuma mahukan ia seperti itu.

Hasrat gua setinggi tujuh lapis langit malah lebih untuk menyambut cahaya dan hiaskan kehidupan ni biar jadi selamat dan sejahtera. Hati gua ikhlas. Jiwa gua jujur dan tulus. Apa lagi yang lebih penting dari tu? Gua rasakan seolah-olah gua manusia yang paling mulia kerana mampu mengimpikan sesuatu sampai setulus itu. Gua rasa gua manusia yang punya maruah diri dan nilai yang tinggi dengan impian gua yang sesuci itu. Gua percaya pada diri gua sendiri. Gua percaya gua layak dan berhak untuk miliki segala impian kerana hati gua cukup bersih untuk semua itu. Gua percaya dan yakin. Gua percaya dan yakin dengan sepenuh jiwa-raga gua ni.

Gua percaya bulat-bulat sehingga senaif-naif rasa percaya yang mungkin ada dalam dunia ni. Percaya dengan penuh buta dan tuli. Gua tak pernah fikirkan apa-apa selain dari impian gua yang terlalu besar dan tinggi itu. Tak pernah ada rasa berbelah-bahagi dalam diri gua. Tak pernah ada syak, tak pernah ada wasangka, tak pernah ada ragu-ragu. Gua menunggu esok, menunggu dengan penuh impian dan harapan tanpa memikirkan apa-apa. Kalaulah gua tahu kenyataannya ia tak semudah itu. Tapi tahukah gua?

Gua sedar tak ada siapa yang mampu lepas dari takdir tapi adakalanya gua rasa seolah-olah semua tu tak adil. Kalaulah sesuatu tu tak pernah benar, kenapa bohong jiwa gua yang naif untuk percaya pada apa yang tak pernah wujud? Betapa gua percaya sampai gua terbayang-bayang, sampai gua dah dapat rasakan keindahan yang nampak cukup mudah itu tapi dalam sekelip mata tanpa dapat gua nak cuba buat apa-apa ianya dah ranap macam tu saja. Bayangan yang gua sangkakan sebagai kenyataan itu berkecai sedangkan gua langsung tak berkesempatan untuk buat apa-apa dengan semua impian dan harapan gua yang melangit.

Salah gua ke yang tertipu dengan perasaan sendiri? Tapi gua tak tahu. Gua ingatkan semuanya senang macam tu saja. Gua fikir bila gua nekad gua akan dapat miliki apa yang gua cita-citakan. Gua tak tahu langit tu tinggi mana, tak tahu laut tu dalam mana. Sebab gua yakin gua dah bayangkan segala-galanya yang akan berlaku nanti dan gua percaya mentah-mentah dengan semua bayangan yang bermain dalam fikiran gua tu. Gua berpegang pada semua tu sekuat-kuat hati gua seolah-olah gua akan milikinya suatu hari nanti tapi gua lupa untuk sampai ke hari yang gua tunggu-tunggu tu macam-macam boleh berlaku. Gua ingat semuanya dekat tapi akhirnya baru gua tahu betapa jauhnya jarak antara hari ni dan esok.

Gua harap gua sedar hakikat tu sebelum gua terpaksa belajar sendiri dengan cara yang sangat-sangat menyakitkan macam ni. Gua lemah selemah-lemahnya dah tak berdaya nak buat apa-apa. Saat gua dah melayang sampai ke puncak dunia dengan segala angan-angan gua jatuh terhempas ke bumi tiba-tiba. Sakitnya gua rasa sampai ianya membunuh terus segala kenaifan dan keyakinan yang pernah wujud dalam diri gua. Segala angan-angan dan impian yang gua dirikan sebesar-besarnya bersepai lalu merudum serentak menghempap tubuh gua bertubi-tubi. Serpihan-serpihannya menusuk dan menikam-nikam seluruh anggota badan gua dengan amat kejam dan ganas. Gua sakit, sakit yang teramat sangat sampai gua hancur, punah-ranah. Gua terlantar parah dengan luka yang rabak, dengan darah yang melimpah-limpah dan gua terkubur ditimbus oleh impian dan harapan gua sendiri.

Kenapalah gua bodoh sangat sampai perlu disedarkan dengan cara yang sekejam itu? Gua harap dari awal-awal lagi gua tahu betapa tingginya langit dan betapa kerasnya realiti tapi gua pandang mudah semua tu. Gua ingat gua ni hebat sangat sampai senang-senang nak menduga kenyataan dan masa depan. Memang gua sebenarnya yang dah buta dikaburi impian sampai tak sedar itu semua. Gua leka, asyik dengan angan-angan gua yang sempurna sampai keliru nak membezakan antara khayalan dan kenyataan.

Rupanya hidup cuma bagi gua masa sebentar untuk hanyut dalam khayalan gua. Rupanya kenyataan hanya bagi peluang sekejap untuk gua terbang tak jejak bumi dilambung-lambung dengan harapan gua. Gua alpa. Gua lalai. Gua tak nampak langsung semua tu. Gua tak sedar langsung. Sebesar kumanpun gua tak sedar. Tak terfikir langsung akan semua tu sampai gua pertaruhkan habis segenap isi jiwa-raga, perasaan dan segala-galanya yang ada pada gua. Gua serahkan bulat-bulat tanpa fikir panjang. Gua gadai seluruh kenaifan, keihklasan, kepercayaan yang mungkin ada tanpa tertinggal walaupun sekelumit. Memang gua dengan penuh buta-tuli, dengan lurus selurus-lurusnya terima, yakin, tak pernah persoalkan apa-apa untuk gua pegang khayalan yang sementara itu dengan sekuat-kuat tenaga gua.

Dalam kehancuran dan kemusnahan ini, gua berharap kalaulah waktu itu gua tahu awal-awal. Kalau gua tahu gua cuma berangan, gua takkan berharap sampai setinggi itu. Kalau gua tahu harapan tu cuma harapan dan tak lebih dari itu, gua takkan percaya bulat-bulat pada segala khayalan dan bayangan yang bermain dalam fikiran gua. Tapi hakikatnya memang gua betul-betul telah percaya pada semua tu. Sampai gua tersadai nyawa-nyawa ikan bila segala-galanya tak kesampaian. Gua percaya sepenuhnya pada harapan sampai gua tergamam, terkedu bila kenyataan tiba-tiba saja menyentap habis semua tu dari gua. Gua terkebil-kebil. Gua keliru. Gua bingung.

Betapa gila-gila gua berharap, betapa sepenuh-penuhnya gua bersandar pada impian tapi dalam sekelip mata, macam tu saja realiti dah berjaya menghancur-leburkan terus semua tu. Realiti menyentak jantung gua sampai pecah untuk mengejutkan gua dari mimpi. Dan gua terjaga sampai celik secelik-celiknya dari kebutaan gua sekian lama dengan kekecewaan yang tak terperi. Kekecewaan yang tak mungkin dapat ditebus dan dibayar kembali untuk selama-lamanya walau dengan apa harga sekalipun.

Gua tersungkur rebah bersama segala rasa percaya yang akhirnya hancur-musnah. Impian gua ranap. Harapan gua mati dalam sekelip mata. Gua terkorban, terkorban habis-habisan. Kerana gua tak pernah ada ragu dan gua pertaruhkan segala-galanya untuk harapan itu sehingga gua dah punya apa-apa lagi bila harapan tu berakhir. Gua terlalu hampa sampai dah tak terkata. Jiwa gua bersepai, sakit yang terlalu amat-sangat.

Kenapa gua hanyut dan lupa pada hakikat? Kenapa gua berdiri atas angin, bukan atas bumi yang nyata? Terlalu lurus cuba mengejar langit hingga lupa kemampuan diri sendiri. Siapa yang cuba gua perbodohkan? Gua cuma memperbodoh-bodohkan diri gua sendiri. Gua terlalu percaya pada harapan sampai lupa segala-galanya. Gua lupa bahawa masih ada kenyataan yang perlu jadi penentu untuk semua tu. Dan kehancuran inilah harga untuk kelekaan gua, kelekaan pada takdir yang menunggu sebelum gua sampai pada impian.

Akhirnya baru gua tahu tentang kebenaran itu. Sesungguhnya, hanya ada satu yang pasti dalam hidup ini iaitu realiti. Apa saja yang manusia inginkan, semuanya perlu menjawab pada realiti. Soal impian, walau sesuci mana, semulia manapun impian itu, kalau ia tak selari dengan realiti yang dah dijanjikan awal-awal, ia tetap tak berharga langsung. Sikitpun tak berharga. Harapan tak menjaminkan apa-apa. Walau sebesar cakerawala sekalipun harapan tu, hakikat hari esok tetap ditentukan oleh takdir. Semua tu cuma mainan perasaan, yang membuatkan jiwa mentah terpedaya sia-sia. Gua yang jahil tentang itu kerana menganggap apa yang dijanjikan oleh harapan gua sebagai satu janji yang pasti. Lurus benar rupanya gua saat itu.

Bila harapan gua berdepan dengan realiti, apa lagi yang mampu gua tentang? Walaupun gua betul-betul berharap, betul-betul gila-gila ikhlas, apa nilai keihklasan gua untuk menolak realiti? Bila lawan gua adalah realiti, apa lagi yang boleh gua cakap, beb? Dah habislah tu maknanya, dah sudah dah! Tak ada benda dah yang boleh gua kata. Gua kalah! Memang realiti jauh lebih berkuasa dari gua. Siapa gua untuk menentang kenyataan? Kerdil sekerdil-kerdilnya gua ditundukkan oleh hakikat. Gua tak terlawan langsung! Gua terduduk, terdiam terus tanpa sebarang suara.

Jelas, tak ada apa yang boleh menentang kenyataan. Itu memang hakikat yang cukup-cukup pasti dan benar. Walaupun manusia perlu hancur dan kecewa, kenyataan tetap takkan berubah. Memang macam tu hukumnya. Tak ada kelonggaran untuk sesiapapun. Sesuci manapun hasrat, semurni setulus manapun kehendak, kalau tak selari dengan kenyataan tetap akan berkecai juga tanpa harga. Ia takkan bawa makna satu senpun. Semua benda bersandarkan pada realiti, pada ketentuan yang nyata yang seringkali bercanggah dari apa yang boleh kita harap dan bayangkan. Ia penuh dengan kebenaran mutlak yang kadang-kadang memang amat-amat menyakitkan untuk diterima.

Dan kalaulah dari dulu gua mengerti. Tapi sayangnya, dulu gua tak mengerti semua itu. Gua berdiri di satu sudut dunia dengan harapan yang tulus-suci seolah-olah gua akan miliki segala keindahan yang tergambar dalam fikiran gua. Gua ingin capai semua tu seolah-olah ia wujud untuk gua hingga dalam keadaan khayal macam tu gua sendiri lupa kedudukan gua dalam dunia ni dan berlagak macam gua ni cukup baik, cukup mulia. Gua jadi tak sedar diri. Gua ni siapa, beb? Siapa gua untuk bergurau gua akan dapat segala kesempurnaan dan kebahagiaan yang ada dalam dunia ni? Siapa gua untuk perasan seolah-olah illusi indah yang gua bayangkan dalam angan-angan gua tu akan betul-betul jadi kenyataan?

Gua cuma manusia yang berangan lebih dari kemampuan dan terlalu terdesak untuk capai sesuatu bagi hidupnya yang hitam dan kosong. Gua ingat gua siapa untuk percaya illusi tu adalah kebenaran? Illusi dan harapan tu cuma nak bermain-main dengan gua. Cuma gua saja yang tak sedar dan anggap semua tu sebagai tempat untuk gua berpaut. Tengok sajalah akhirnya bagaimana gua tercampak ke dasar bumi menanggung kehampaan dan kesakitan yang tak berpenghujung ini. Gua terhumban, tercampak ke kiri-kanan dinding realiti disepak-terajang kehidupan. Sudahnya gua cuma terkulai sendirian dalam keadaan tenat tanpa ada sisa kekuatan yang tinggal. Gua menderita sendiri dihukum oleh takdir. Gua tercungap-cungap bernafas dalam nyawa-nyawa ikan dengan jasad yang parah tercedera bila semua mimpi gua musnah berkecai dihapuskan oleh realiti hidup.

Dalam keadaan gua yang macam ni hancur, apa lagi yang mampu untuk gua percaya? Macammana lagi gua nak yakin pada impian dan dirikan semula harapan seperti dulu? Gua memang betul-betul dah kecewa, betul-betul dah patah hati! Tak ada apa lagi yang masih tinggal dalam diri gua ni yang mampu untuk hidupkan semula harapan gua. Semuanya dah jadi abu, dah hangus terbakar dengan segala kenaifan gua yang berkubur.

Gua terpaksa akur menerima kekalahan walaupun tanpa kerelaan hati. Apa yang boleh gua buat kalau dah memang realiti hidup macam ni? Gua cuba percaya pada impian dan harapan tapi akhirnya gua juga yang sengsara sendiri. Gua cuba melihat dunia ni dari pandangan yang indah dan suci dan dunia juga yang menunjukkan pada gua bahawa semua pandangan indah dan suci itu adalah tak benar. Mungkin gua sebenarnya yang patah semangat tapi gua dah tak mampu lagi nak percaya pada impian dan harapan. Mata gua dah tak kabur. Yang hitam tu hitamlah, yang putih tu tetap putih. Berharap dan bermimpi sepanjang hayatpun tetap takkan tukar kenyataan yang dah termaktub kukuh itu.

Hidup dalam realiti yang keras mencengkam ini, apapun yang gua buat takkan merubah kedudukan dan taraf yang dilabelkan oleh dunia pada gua. Dengan kasih-sayang dan keikhlasan gua yang tak ada nilai pada sesiapa takkan menjanjikan gua apa-apa. Undang-undang hidup dah memastikan bahawa gagak tetap gagak walaupun dipakaikan bulu emas! Sekadar nak susun impian tinggi-tinggi memang cukup mudah tapi kalau realiti tak mengizinkan, sudahnya ia akan berkecai juga. Mungkin hakikat tentang impian itu cuma terlonggok di dalam kesakitan dan kekecewaan yang tak terperi ini.

bersambung....

Tiada ulasan: