Rabu, 16 April 2008

Jalan Hitam (6)

“Mana dia duit kau, budak?! Cepat kasi kat kitaorang!” Fariz menggertak budak yang saiznya dua kali ganda lebih kecil dari tubuhnya sendiri. Man pula tersengih-sengih di samping Fariz, mendepang dada lagak macam orang yang cukup berkuasa. Fariz juga turut berdiri megah, bangga dengan kelakuan yang membuli orang lain.

“Kau ni nak kena ke, hah?! Cepatlah! Aku cakap kasi duit kau. Tak faham bahasa ke apa?!” Kasihan! Dalam ketakutan, budak kecil itu akhirnya terpaksa menyerahkan semua duit belanja sekolah yang dibawa kepada Fariz dan Man. Dengan senyuman puas, mereka berlalu meninggalkan budak yang malang itu. Realiti, beb! Siapa kuat dialah yang menang! Bukan ke itu yang mereka ajar dan semai dalam hidupnya?


“Fariz buat lagi, ya?” Mata Nurul membulat memandang wajahnya. “Buat apa?” Fariz berlagak macam tak faham. “Fariz jangan nak buat macam tak tahu apa-apalah. Tak baik tau Fariz ni! Tak baik buat macam tu kat orang. Fariz ingat Fariz dah besar sikit Fariz bolehlah nak buli budak kecik? Teruk tau! Fariz tak rasa kesian ke?” Kesian? Tapi, siapa yang pernah kesian padanya selama ni?

“Fariz! Fariz dengar tak apa yang Nurul cakap ni? Tak baik tau buli orang yang lemah dari kita. Dosa tau! Kenapa Fariz buat macam tu? Fariz nak jadi budak jahat ke?!” Dengan penuh bersungguh Nurul berleter dan beria benar menunjukkan wajah garang hingga Fariz rasa nak tergelak kerana gadis genit itu terlalu manis dan manja. Wajah garangnya tak menjadi malah semakin comel seperti kartun yang melucukan bagi Fariz.

Nurul terus mengomel dengan gelagat yang sebenarnya hanya menghiburkan lagi hati Fariz. Pun begitu, Fariz tak mahu mengecilkan hati gadis genit yang comel itu. Dia tundukkan kepala, diam dan mengakui kesilapannya sendiri. Mana mungkin dia menang apabila bertentangan dengan gadis itu! Kebaikan dan kecomelan Nurul akan sentiasa membuat dia mengalah, malah, dalam dunia ini hanya Nurul seorang yang mampu memaksanya berbuat demikian. Hanya Nurul. Sesungguhnya, jauh dalam hati Fariz mula rasa bahagia.

bersambung....

Tiada ulasan: