Selasa, 19 April 2011

Mawar Hitam (6)

"Kenapa pakaian kau serabai semacam? Kau kan perempuan. Kenapa macam ni?" Riki mengangkat muka mengerling tajam pada Airil.

"Okay, okay, sorry. Tapi, betul apa. Agak-agak macam mana rupa kau kalau pakai pakaian macam orang perempuan? Ini...," belum sempat Airil habiskan ayat, Riki mengerling lagi. Airil tak menyambung sebaliknya cuma tersenyum nakal. Dia sedar Riki amat tak menyenangi kehadirannya di situ tapi dia tak peduli. Bagi Airil sekarang, mengekori gadis ini dan memerhati gelagatnya telah menjadi satu keseronokan. 

"Apa sebenarnya yang kau nak dari aku? Cuba kau cakap. Aku ada hutang kau ke?" Tiba-tiba Riki bersuara bertanya. Dia tak faham kenapa mesti lelaki ni mengekorinya macam ni.

Airil tersenyum lagi sambil menganggukkan kepala, "Memang kau ada hutang aku. Diri kau. Hehe. Aku nak kenal sangat dengan kau. Cuba kau pandang aku dan jawab betul-betul. Takkan sikitpun tak terlintas kat hati kau nak kenal dengan aku?"

Riki mengeluh dan menggeleng kecil. Mungkin lelaki ni ada masalah mental. Mahu melupakan Airil, dia seluk poket mencari rokok baru untuk dinyalakan tapi kemudian dia mengeluh lagi, bila mendapati rokoknya telah habis. 

"Hei, bagi rokok sebatang." Airil sengih. Dia keluarkan rokok dan hulur pada Riki. Kemudian dia tolong nyalakan rokok di bibir Riki. Sewaktu gadis itu menyedut rokoknya, entah kenapa Airil rasa macam sedang dipukau. Dia pandang Riki tak berkelip! Menyedari pandangan Airil, Riki membalas, tepat. Mereka bertentang mata dan tiba-tiba Riki rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Dia segera melarikan mata dan memandang kejauhan.

"Kenapa? Kau tak berani nak bertentang mata dengan aku?" Riki diam. Bertentang mata dengan lelaki itu adalah sesuatu yang lebih elok tak diteruskan. Dia tak ada alasan, tapi dia rasa mereka tak perlu dan tak harus berpandangan lama.

Akhirnya Airil kehabisan kata-kata. Dia turut sama diam sekadar memerhatikan Riki dan dia menggeleng sendirian. Sayang! Kenapa Riki jadi macam ni? Dia lihat Riki hembus asap rokok ke udara, asyik dalam dunianya sendiri. Memang sayang. Kenapa seorang gadis yang sepatutnya sopan dan ayu mesti jadi tak terurus dan hidup dengan cara yang kasar dan liar? 

Riki masih muda. Airil percaya Riki lebih muda daripadanya. Mungkin seusia dengan Ratna.

Oh, Ratna. Alangkah baiknya kalau gadis di kota seperti Ratna. Lemah-lembut, sopan. Atau, mungkinkah itu yang perlu dibayar untuk menjadi warga kota? Antara Riki dan Ratna bezanya macam langit dan bumi. Memang tak adil dunia ni. Kenapa hingga sekarang dia masih tak jumpa gadis seperti Ratna?

Pun begitu, Riki ada keistimewaannya tersendiri dan Airil dapat rasa yang dia mula rasa suka. Suka pada Riki.

2 ulasan:

± berkata...

adakah riki alter-ego kau? ^^

broken_nigina berkata...

riki adalah riki.
:)